15 September 2012

PIALA MALAYSIA 2012: KELANTAN 6-1 TERENGGANU: KELANTAN MARA KE SUKU AKHIR DENGAN BERGAYA

Indra dan Daudsu meraikan jaringan Badri Radzi sementara penjaga gol Terengganu, Sharmiza tunduk lesu.
Foto:  https://www.facebook.com/DuniaSukanOnline
Kelantan mara ke suku akhir Piala Malaysia 2012 setelah membelasah Terengganu 6-1 dalam perlawanan terakhir kumpulan B, di Stadium Sultan Muhammad ke IV malam tadi.

Mohd Afiq Azmi, Norfarhan Mohamad, Badri Radzi dan Indra Putra mencatatkan nama sebagai penjaring bagi Kelantan sementara gol saguhati Terengganu diperolehi oleh Hazmizan.

Terengganu yang sudah pun tersingkir awal daripada saingan Piala Malaysia bagaimanapun mempamerkan tentangan yang sengit kepada Kelantan pada babak awal permainan.

Mohd Afiq meletakkan Kelantan berada dihadapan pada minit ke 13 setelah pintu gol terbuka luas hasil asakan daripada Nurul Azwan Roya di bahagian kiri gol Terengganu.

Gol itu seakan membuka pintu kepada serangan bertali arus daripada Kelantan dengan sekali sekali dibalas dengan serangan balas oleh Terengganu yang dikemudi oleh Ismail Faruqi dibahagian tengah.

Gerakan dan hantaran yang kemas daripada Kelantan serta larian pantas Nurul Azwan dan  kawalan bola Norfarhan yang baik menjadi kunci bahagian serangan.

Norfarhan menjadikan kedudukan 2-0 apabila bijak melepasi 2 pertahanan Terengganu setelah bertukar hantaran bersama Indra dan merembat kencang menewaskan Sharmiza di minit ke 29.

Bermula babak kedua, Norfarhan menambah satu lagi jaringan di minit ke 47 sebelum Kapten pasukan, Badri Radzi menjaringkan gol ke 4 Kelantan diminit ke 76 apabila menanduk masuk bola hantaran Obinnna yang gagal ditangkap kemas oleh Sharmiza.

Terengganu memperolehi gol saguhati hasil kealpaan pertahanan Kelantan menyebabkan Hazmizan mudah menanduk masuk bola menewaskan Khairul Fahmi diminit ke 79.

Namun Kelantan bingkas menambah lagi 2 jaringan melalui Badri Radzi 2 minit kemudian sebelum Indra Putra melengkapkan kemenangan bergaya Kelantan dengan jaringan ke 6 diminit ke 84.

Kemenangan ini meletakkan Kelantan sebagai pendahulu Kumpulan B apabila berkongsi 11 mata bersama ATM yang sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Kedudukan ini juga membolehkan Kelantan mengelak daripada bertemu juara bertahan Piala Malaysia, Negeri Sembilan diperingkat suku akhir dan akan bertemu dengan naib juara kumpulan C, Felda United.