1 September 2012

PREVIEW PIALA MALAYSIA 2012: KELANTAN VS ATM: ATM BAKAL DI GEMPUR DI KOTA BHARU

Jangkaan kesebelasan utama Kelantan vs ATM
Pertemuan Kelantan menentang ATM FA di Stadium Sultan Muhammad Muhammad ke IV malam ini memulakan pusingan kedua pertemuan di dalam Kumpulan B, saingan Piala Malaysia 2012.

ATM yang mendahului kumpulan B dengan 7 mata hanya memerlukan 1 lagi kemenangan bagi mengesahkan laluan mereka ke suku akhir dan mereka turun ke Kota Bharu dengan misi mendapatkan 3 mata penuh.
Namun ATM dijangka menghadapi laluan sukar untuk meraih 3 mata di Kota Bharu apabila Juara Liga Super 2012, Kelantan kebal dan tidak pernah tewas di hadapan penyokong dan di gelanggang mereka sendiri musim ini.

Pertemuan pertama diantara ATM dan Kelantan pada Selasa lepas menyaksikan kekuatan yang seimbang dimiliki oleh kedua-dua pasukan dimana mereka terikat dengan jaringan 1-1.

ATM membuktikan status mereka sebagai Juara Liga Perdana dan sebuah pasukan berstatus kelab mampu memberikan saingan kepada Juara Liga Super dan Piala FA 2012, Kelantan.
Foto: FB ATM FA
Aset utama ATM ialah barisan pemain berpengalaman dan pernah menjuarai Piala Malaysia seperti Hairuddin Omar, Aidil Zafuan, Zaquan Adha, Rezal Zambery, Irwan Fadhli Idrus, Farizal Harun, Azmi Muslim, Bruno Martelotto dan Marlon Alex James.

Aidil, Zaquan, Hairuddin, Rezal, Farizal dan Irwan merupakan bekas pemain Negeri Sembilan yang menjuarai Piala Malaysia di musim 2009 dan 2011, manakala Azmi Muslim dan Marlon membantu Kedah menjadi juara 'treble' 2 tahun berturut-turut, sementara Bruno juga pernah membantu MPPJ menjuarai Piala Malaysia pada musim 2003.

ATM turut diperkuatkan penjaring terbanyak Liga Perak perdana 2011, Fitri Omar yang kali ini cemerlang bermain di posisi pertahanan kiri disamping Zaquan Adha, bekas penyerang kebangsaan yang dialihkan ke bahagian sayap kanan.

Pemain tumpuan bagi ATM sudah tentulah kepada penyerang import berbahaya yang merupakan penjaring kedua dan keempat terbanyak Liga Perdana musim ini dengan 21 gol iaitu Marlon Alex James dan Hairuddin Omar dengan 12 gol.

Marlon setakat ini telah menjaringkan 3 gol dalam 2 perlawanan ketika menewaskan Terengganu 2-1 dan 1 gol ketika menentang Kelantan.
Keputusan terkini perlawanan bagi Kelantan dan ATM serta rekod pertemuan sejak 2007

Bagi Kelantan, semestinya Bojan Hodak akan menurunkan skuad terbaiknya bagi menyekat kemaraan ATM   dan mencari kemenangan kedua, seterusnya merampas kedudukan pendahulu kumpulan B.

Kelantan walaubagaimana pun dijangka sekali lagi akan menggandingkan Norshahrul Idlan bersama Afiq Azmi setelah Ghaddar dilaporkan mengalami kecederaan pangkal paha.

Keampuhan benteng Kelantan yang diterajui Subramaniam dan Obinna dijangka mampu mengikat Marlon Alex James dan Hairuddin sementara Daudsu dan Zairul perlu berusaha lebih untuk mengunci pergerakan Christie Jayaselam dan Zaquan Adha.

Sementara dibahagian tengah, Badri Radzi dan Bruno Martelotto akan menentukan kelancaran jentera serangan bagi setiap pasukan dengan bantuan Shakir Saari dan Rezal Zambery.

Meskipun bakal berhadapan dengan B. Sathianathan buat kali kedua, Kelantan dilihat mampu menyekat kemaraan ATM dan meraih 3 mata penting di Kota Bharu.
Foto: Amierul Hisyam

Barisan kemungkinan

Kelantan
Khairul Fahmi (PG); Daudsu Jamaluddin; Subramaniam; Obinna Nwanneri; Zairul Fitrie; Shakir Saari; Badri Radzi (K); Norfarhan Mohamad; Indra Putra; Afiq Azmi dan Norshahrul Idlan.

ATM
Farizal Harun(PG); Aidil Zafuan; Zaquan Adha; Marlon Alex James; Bruno Marteloto; Azmi Muslim; Fitri Omar; Christie Jayaselan; Hairuddin Omar(K); Irwan Fadzly dan Rezal Zambry