4 September 2012

PREVIEW PIALA MALAYSIA 2012: KELANTAN VS KEDAH: KELANTAN WASPADA MISI HIDUP MATI KEDAH

Barisan kemungkinan Kedah vs Kelantan
Kelantan berpeluang mengesahkan laluan ke suku akhir Piala Malaysia 2012 lebih awal jika berjaya menundukkan Kedah di Stadium Alor Setar, malam ini.

Berdasarkan prestasi semasa pemain dan keadaan diantara kedua-dua pasukan, Kelantan dilihat memiliki sedikit kelebihan berbanding Kedah untuk mara ke peringkat seterusnya.

Kedah yang tewas dalam 2 perlawanan awal kepada ATM (0-2) dan Kelantan (1-2) mempamerkan kebangkitan setelah berjaya menundukkan Terengganu 2-1 di Alor Setar dan seri 1-1 di Kuala Terengganu.

Walau bagaimanapun, Kedah terpaksa membayar harga yang mahal untuk mendapatkan 1 mata di Terengganu apabila kehilangan penjaga gol utama, Helmi Eliza dan pemain gantian, Wan Mohd Syukri ekoran menerima kad merah.

Menambah derita skuad Kedah, senarai kecederaan yang panjang juga dilihat boleh merencatkan usaha untuk menghidupkan kembali saingan mereka dalam Kumpulan B.

Pemain pertahanan, Azmizi dan V.Thirumurugan serta pemain import, Safi Abdul Fatah dan pemain tengah, Amar Rohidan dilaporkan masih belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan.

Namun Kedah mempunyai pilihan menurunkan penjaga gol ke 3 mereka iaitu Mohd Muhaimin bagi menggantikan Helmi yang digantung 2 perlawanan dan Abdul Hadi yang cedera.

Jurulatih baru dari Croatia, Mario Tot juga boleh menggunakan pemain pinjaman daripada Sabah iaitu Sabri Saha, Asri Mardzuki dari HM (B) dan Redzuan Nawi dari USM FC.

Rekod pertemuan diantara Kelantan dan Kedah pada musim ini juga berpihak kepada Kelantan dengan 3 kemenangan dan 2 kali seri termasuk 1 kemenangan di Alor Setar.

Penyokong-penyokong Kelantan sudah tentu masih mengingati akan pertemuan terakhir di antara kelantan dan Kedah di Alor Setar pada peringkat separuh akhir Piala FA.

Perlawanan itu menyaksikan Kedah mendahului Kelantan 2-0 di babak pertama hasil 2 jaringan Khyril Muhymeen sebelum Kelantan bangkit dramatik menyamakan kedudukan melalui tandukan Obinna Nwaneri dan rembatan Mohamad Ghaddar dan seterusnya layak keperlawanan akhir Piala FA 2012.

Dalam pertemuan malam ini, Kelantan dijangka akan sekali lagi menggandingkan Norshahrul bersama penyerang pinjaman dari Kuala Lumpur Mohd Afiq Azmi.

Afiq muncul wira Kelantan di Kota Bharu setelah menjaringkan 2 gol ketika menentang Kedah yang mendahului 1-0 melalui jaringan Khyril Muhymeen.

Walaupun tanpa khidmat penyerang import, Mohamad Ghaddar yang cedera, Kelantan dijangka mampu mencatatkan kemenangan di Alor Setar, namun Kedah turut mampu membuat kejutan seperti ketika mereka menundukkan Terenganu 2-1 tempoh hari.

Aksi Khyril Muhymeen ketika menjaringkan gol di SSMIV.
Kelantan turut tidak boleh memandang rendah akan keupayaan pasukan yang pernah bergelar 'Juara Treble 2007 & 2008' ini terutama sekali apabila bermain di Alor Setar.

Meskipun Kedah telah tersingkir ke Liga Perdana pada musim hadapan, mereka masih lagi dianggap sebagai pasukan yang berkualiti kerana memiliki barisan pemain-pemain ternama seperti Baddrol Bakhtiar, Khyril Muhymeen, Sabre Abu, Vedran Gerc dan lain-lain.

Khyril Muhymeen telah menjaringkan 3 gol untuk Kedah dalam saingan Piala Malaysia kali ini dan merupakan ancaman utama kepada benteng pertahanan Kelantan selain daripada penyerang import, Vedran Gerc.