19 October 2012

KELANTAN DI DENDA RM40 RIBU: SATU LAGI SABOTAJ FAM KEPADA KAFA?


Datuk Taufik Abdul Razak

Disaat Kelantan bersedia untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali ke 3 dalam tempoh 4 tahun Sabtu ini, KAFA sekali lagi dikejutkan dengan 'hadiah' daripada FAM iaitu denda sebanyak RM40 ribu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak menyatakan denda tersebut diatas perlakuan penyokong Kelantan yang membaling botol dan objek ke padang ketika perlawanan peringkat kumpulan B diantara Kelantan dan ATM pada 28 Ogos lalu.

Walaupun benar penyokong Kelantan bertindak sedemikian yang telah menyebabkan perlawanan terhenti selama 17 minit, namun tindakan FAM menjatuhkan denda dengan jumlah yang agak tinggi itu kelihatan seperti keterlaluan dan tidak adil.

Ini kerana pada masa yang sama, PBNS, PBSNT dan PAFA hanya dikenakan denda sebanyak RM10 ribu diatas kesalahan penonton menyalakan mercun sejurus lagu Negaraku, membaling botol air keatas pengadil dan botol sos cili.

Apakah tindakan membaling botol kepada pengadil dengan niat mendatangkan kecederaan dianggap sebagai kesalahan yang lebih ringan?

Atau adakah tindakan menyalakan mercun sejurus nyanyian lagu kebangsaan dianggap sesuatu yang boleh diterima dan tidak perlu dikenakan denda yang lebih tinggi?

Kewajaran denda setinggi RM40 ribu itu boleh dipersoalkan kerana jumlahnya yang agak tinggi berbanding persatuan-persatuan lain. Meskipun perlawanan dihentikan pada perlawanan itu, namun keadaan sebenarnyan agak terkawal.

Penulis yang hadir keperlawanan itu berpendapat tindakan pengadil yang memutuskan untuk memberhentikan perlawanan untuk tempoh yang terlalu lama adalah tidak munasabah dan menganggu tempo permainan.

Tindakan FAM yang mengumumkan denda tersebut  2 hari sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia diantara Kelantan menentang ATM juga kelihatan disengajakan dan seperti ingin mensabotaj semangat dan keghairahan penyokong-penyokong Kelantan.

Adalah benar segelintir penyokong Kelantan telah melakukan kesalahan tersebut dan ianya merupakan perlakuan yang memalukan namun perkara yang sama turut dilakukan oleh segelintir penyokong Selangor ketika perlawanan separuh akhir Piala Malaysia diantara Kelantan dan Selangor pada minggu lepas namun tiada sebarang tindakan daripada pengadil.

Pengadil dalam perlawanan separuh akhir ini juga adalah pengadil yang sama ketika perlawanan Kelantan menentang ATM Ogos lalu iatu Mohd Amirul Izwan.

Sepanjang musim ini juga beberapa perlawanan telah diberhentikan kerana tindakan yang sama oleh peyokong seperti perlawanan T-Team menentang Terengganu pada 23 Januari lalu yang dihentikan selama 5 minit.