21 October 2012

PIALA MALAYSIA 2012 FINALS: KELANTAN THE TREBLE CHAMPIONS OF MALAYSIA

Foto kredit: https://www.facebook.com/arthelance?fref=ts
Kelantan menutup tirai musim 2012 dengan melengkapkan kejuaraan treble setelah berjaya menjuarai Piala Malaysia apabila menundukkan ATM dalam aksi final yang mendebarkan.

Perlawanan yang sekali lagi menemukan juara Liga Super, Kelantan dan juara Liga Perdana, ATM itu menepati ramalan apabila menyaksikan 5 jaringan berjaya dihasilkan dengan perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

Kelantan terbukti pasukan yang lebih baik dan layak bergelar juara dengan permainan yang bermutu, jaringan kelas dunia dan puluhan ribu penyokong yang setia.

Indra Putra Mahyuddin dan Norshahrul Idlan membuktikan kenapa mereka digelar pemain paling bernilai Liga Malaysia pada tahun 2010 dan 2011 apabila muncul wira Kelantan sekaligus menutup mulut pengkritik yang meramalkan Kelantan bakal tewas hanya kerana ketiadaan Ghaddar dan Norfarhan.

Bojan Hodak bijak merencanakan taktikal pasukannya dan jelas, beliau mempelajari sesuatu daripada 2 pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini.

Disaat B. Sathiananthan menurunkan hampir kesebelasan utama yang sama pada setiap perlawanannya, menjadikan pasukannya mudah diramal, Bojan sudah merangka strategi bagaimana mendiamkan cabaran ayam tambatan tua ATM, Marlon Alex James.

Marlon hanya berbahaya jika disuapkan hantaran-hantaran lintang daripada sayap kiri dan kanan, daripada Zaquan dan Christie dan juga hantaran daripada Bruno Martelotto. Mereka semua hanya tahu mencari Marlon, menghantar bola padanya dan mengharapkan jaringannya.
Daudsu menghalang pergerakan hairuddin Omar. Foto: Yazit Razali, MyMetro
Namun Kelantan berjaya mengekang Zaquan melalui Daudsu, kelincahan Christie dihalang oleh keutuhan Nik Shahrul Azim, Bruno sentiasa dibayangi dengan agresif oleh Shakir Saari dan tidak lupa, Obinna dan Subra yang cemerlang menyaingi Marlon.

ATM jelas buntu namun dengan pengalaman dan kualiti pemain-pemainnya, mereka masih mampu bangkit daripada ketinggalan dan menyamakan kedudukan sebanyak dua kali.

Itupun mereka hanya beroleh jaringan daripada dua gerakan bola mati iaitu gol pertama Rezal Zambri diminit ke 49 hasil tendangan sudut dan tandukan Marlon yang berpunca daripada tendangan percuma.
Aksi Matyo selepas manjaringkan gol pendahuluan Kelantan. Foto: Owee Ah Chun, MyMetro
Apapun malam tadi menjadi milik The Red Warriors dan magis pemain-pemainnya yang tampil lebih tenang, tanpa tekanan dan berpewatakan juara lantaran sudah biasa dengan perlawanan besar sejak kebelakangan ini.

Tidak sebagaimana ATM yang hanya bergantung kepada kesebelasan yang sama, Kelantan turun dengan Afiq dan Nurul Azwan yang menggantikan Mohamad Ghaddar dan Norfarhan yang digantung.

Ketiadaan mereka hanya menjadikan Kelantan tampil lebih merbahaya apabila Kelantan berjaya memvariasikan corak serangan dengan hantaran jauh yang tepat mencari Afiq Azmi dan Nurul Azwan, gerakan pantas dan sentuhan istimewa daripada Piya mencari Norshahrul dan Indra Putra.

Ketiadaan Ghaddar membolehkan Kelantan bermain dengan senjata utama mereka iatu gerakan pantas, hantaran pendek dan mudah daripada bahagian tengah mencari penyerang melalui 'through pass' Badri Radzi kepada Norshahrul Idlan.

Sathianathan terkedu apabila pertahanan bertaraf kebangsaan yang dimilikinya iaitu Aidil Zafuan, Azmi Muslim, Amirizwan dan Reuben kerap kali membenarkan serangan bertali arus Kelantan.

Keputusan menukarkan Azmi dan Jayaseelan yang tampak kurang berkesan membuahkan hasil apabila Sarjan Venice Elpi berjaya mendapatkan tendangan percuma yang mencipta jaringan penyamaan Marlon namun sumbangannya terhenti setakat itu.

Alasannya mudah, pemain-pemain ATM seperti Christie, Reuben dan Venice Elpi kelihatan gugup dan sugul serta gagal beraksi seperti biasa ekoran cetek pengalaman di final. Lihat sahaja aksi Farizal Harun yang mudah melepaskan gol pertama Norshahrul.

Farizal mungkin berpeluang menjadi wira jika perlawanan berlanjutan kepada tendangan penalti tetapi aksi kurang konsistennya dalam banyak perlawanan sebelum ini dan sering melepaskan gol mudah mungkin memaksa ATM mencari pengganti yang lebih berkaliber.

Ketika perlawanan berlanjutan ke masa tambahan, ramai menjangkakan Hairuddin Omar, finalis 4 kali Piala Malaysia berturut-turut akan sekali lagi mencipta magis buat kali ke 4 dan membawa kemenangan dramatik dan Piala Malaysia buat pertama kali kepada ATM.

Namun Hairuddin mengejutkan peminat-peminat setia kebolehan luar biasanya dengan melakukan kekasaran  kepada pemain Kelantan dan mengutip kad kuning serta menghampakan mereka yang percaya akan berlakunya siaran ulangan final 3 tahun terdahulu.
Pemain Kelantan menjulang Piala Malaysia 2012. Foto: Yazit Razali
Wira sebenar Piala Malaysia akan muncul pada masa dimana dia diperlukan, wira Piala Malaysia akan muncul dengan sentuhan istimewa dan jaringan ala-final Piala Dunia dan akan dikenang sebagai jaringan terbaik sepanjang musim.

Dan ketika itulah munculnya Indra Putra Mahyuddin dengan hantaran istimewa daripada Badri Radzi yang berpunca daripada serangan balas, Indra tenang menerima bola dan melakukan tendangan cantik hasil sentuhan 'first touch' yang tidak sempat dihalang oleh Fitri Omar dan menjadikan Farizal terpaku dilepasi bola yang menjunam tepat dipenjuru kanan gol ATM.

Gol itu cukup bagi memberikan kemenangan dan kejuaraan treble kepada Kelantan sekaligus menutup musim 2012 dengan kecemerlangan dan mencipta sejarah gemilang bola sepak Kelantan.

Kejuaraan treble itu juga merupakan jawapan terbaik Kelantan kepada konflik diantara KAFA dan FAM apabila Kelantan menyapu bersih semua kejuaraan utama anjuran badan induk bola sepak negara itu.