8 October 2012

PIALA MALAYSIA 2012: KELANTAN 1-0 SELANGOR: KELANTAN BAWA SEDIKIT KELEBIHAN KE SHAH ALAM


INDRA (bawah) mengasak pemain Selangor, Rames Dayoub pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.-foto-kosmo

KOTA BAHARU 7 Okt. - Kemenangan 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama menentang Selangor malam tadi nyata memberi kelebihan kepada pasukan Kelantan untuk beraksi lebih baik pada perlawanan timbal balik di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Ketua Jurulatih Kelantan Bojan Hodak yakin pasukannya akan mengungguli perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia itu jika pertahanan The Red Warriors menunjukkan aksi cemerlang seperti perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV ketika menenang Selangor.

“Ia akan memberi kelebihan kepada pasukan kami jika kita kekal dengan corak permainan seperti malam tadi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Penyerang Norfarhan Muhammad menjadi wira Kelantan selepas menyumbang gol tunggal pasukannya pada minit ke-62.

Bojan yakin anak-anak didiknya akan lebih cemerlang dengan kehadiran Badri Radzi selaku ketua pasukan yang akan menguatkan lagi jentera serangan.

Pemain tengah dan kapten pasukan itu direhatkan malam tadi berikutan sakit di bahagian mata dan ini dilihat memberi sedikit tekanan kepada jentera tengah Kelantan.

Sementara itu, pengendali Selangor Irfan Bakti Abu Salim yakin pasukannya masih berpeluang melangkah ke final.

"Harus diingat masih ada 90 minit lagi bermain di Shah Alam...saya optimis dan yakin Selangor boleh ke final kerana 90 minit lagi akan menjadi penentuan.

"Saya akan ubah cara permainan dengan Kelantan dan akan membuat sesuatu untuk ke final," katanya. - 
BERNAMA

video: sokernet.com