6 October 2012

PIALA MALAYSIA 2012: PREVIEW RINGKAS KELANTAN VS SELANGOR

Jangkaan kesebelasan utama Kelantan vs Selangor; separuh akhir Piala Malaysia .
Pertemuan Kelantan menentang Selangor dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia 2012 mungkin merupakan perlawanan yang paling dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan malahan ada yang menyifatkan inilah 'final' yang sebenar.

Kelantan dalam misi mencapai treble pertamanya bakal berhadapan Selangor yang turut mengejar Piala Malaysia ke 33-nya dengan kedua-dua pasukan memiliki reputasi tersendiri.
Meskipun Selangor memiliki sejarah yang panjang dalam Piala Malaysia namun berdasarkan rekod pertemuannya dengan Kelantan dalam 6 pertemuan terakhir jelas menunjukkan penguasaan The Red Warriors berbanding The Red Giants itu.

Malahan selangor hanya mencatatkan sekali kemenangan berbanding 4 kemenangan yang dimiliki oleh Kelantan termasuk pertemuan terakhir pada Jun lalu dimana Kelantan menang tipis 1-0 hasil jaringan Mohamad Ghaddar.
Seperti Kelantan, Selangor turut bermula lembab diawal saingan Piala Malaysia dengan kekalahan kepada Sarawak dan seri 2-2 dengan Pahang. Namun Selangor bangkit dan mencatatkan 6 kemenangan berturut-turut termasuk kemenangan terbesar mengalahkan Pahang 4-1 di Kuantan.
Kebangkitan Selangor dibantu oleh peningkatan prestasi pemain-pemainnya termasuk Amri Yahyah yang setakat ini telah menjaringkan 4 gol, diikuti oleh Safiq Rahim dengan 3 gol. Penjaring terbanyak Selangor setakat ini ialah Bosko Balaban dengan 5 gol.

Gandingan pemain-pemain ini bersama pasukan mereka telah berjaya menghasilkan 17 jaringan dan 8 bolos daripada 8 perlawanan terakhir.
Sementara Kelantan pula mencatatkan 4 kemenangan dan 3 kali seri setelah dikejutkan oleh Terengganu 2-0 di Kuala Terengganu. Kelantan yang dihimpit jadual yang padat ekoran saingan Piala AFC walau bagaimanapun berjaya mencatatkan kemenangan terbesar mengalahkan Terengganu 6-1 di Kota Bharu.
Kelantan mengumpul 17 jaringan dan 11 bolos daripada 8 perlawanan hasil jaringan pemain-pemain utama seperti Norfarhan, Indra Putra, Badri Radzi dan Nurul Azwan Roya. Penyerang pinjaman daripada Kuala Lumpur, Mohd Afiq Azmi juga berjaya meledakkan 4 gol.

Kembalinya Mohamad Ghaddar kedalam kesebelasan utama Kelantan juga tepat pada masanya dan dijangka akan dapat menambah bisa serangan Kelantan. 

Ini merupakan pertemuan pertama Ghaddar setelah dikasari oleh Amri Yahyah, Nasriq Bahrom dan Bunyamin Omar semasa pertemuan terakhir mereka pada di Kota Bharu, 29 Jun lalu.

Ekoran insiden tersebut, Amri dan Bunyamin digantung 3 perlawanan sementara Ghaddar digantung 1 perlawanan termasuk denda.