22 November 2012

ISU PERPINDAHAN PEMAIN: T-TEAM & KELANTAN: PERBANDINGAN KES 2010 & 2012

T-Team kehilangan 2 pemain utama, Zairo dan Faiz kepada Kelantan.
Sememangnya permulaan Liga Malaysia 2013 menjanjikan persaingan baru dan cabaran yang lebih hebat kepada pasukan-pasukan bertanding berbanding tahun sebelumnya.

Kemunculan Johor yang baru terjaga setelah lena dibuai mimpi hampir dua abad didalam kancah bola sepak Malaysia menggoncang kehangatan Liga Malaysia yang tenang pada sebelumnya.

Tempiasnya, Kelantan yang baru ditabalkan sebagai Juara Treble turut kehilangan dua pemain utama kepada Johor iaitu Norshahrul Idlan (masih dalam rundingan) dan Nurul Azwan Roya.

Bagi menampung kehilangan 2 pemain ini, Kelantan membawa masuk Kapten pasukan T-Team, Zairo Anuar Zailani dan penyerang serta pemain sayap kiri lincah iaitu Mohd Faiz Subri.

Kemasukan 2 pemain ini bagaimanapun tidak lepas daripada konroversi apabila T-Team mendakwa mereka masih lagi mempunyai kontrak sehingga 30 November ini dan sudah menyatakan kesudian untuk melanjutkan kontrak.

Namun kehadiran 2 pemain ini semasa KAFA mengumumkan senarai pemain baru bagi musim 2013 mengesahkan T-Team akan kehilangan 2 pemain utama mereka kepada Kelantan.


Kontroversi ini membangkitkan kembali insiden yang berlaku pada November 2010 setelah Kelantan baru sahaja menjulang kejuaraan Piala Malaysia yang pertama.

Pemain Paling bernilai Liga Malaysia 2009, Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Muhammad dan Azizie Mat Rose yang merupakan pemain utama Kelantan pada musim itu telah 'dirampas' dengan cara yang hampir sama oleh pasukan T-Team.

Kehilangan 3 pemain utama sewaktu jendela pendaftaran baru pemain semakin suntuk mengakibatkan persediaan kelantan untuk musim 2011 terjejas dan Kelantan telah pun melaporkan insiden ini kepada FAM  dengan alasan mereka sewaktu itu masih mempunyai kontrak.

FAM walau bagaimanpun memutuskan ketiga-tiga pemain ini tidak bersalah, tidak melanggar kontrak dan bebas untuk beraksi bersama pasukan T-Team.

Persamaan diantara kes Indra, Norfarhan dan Azizie dengan kes Zairo dan Faiz ialah kontrak mereka semuanya berakhir pada 30 November dan mengikut peraturan 10.1, pasukan asal boleh memberikan notis lanjutan kontrak 3 bulan sebelum tamatnya kontrak iaitu pada atau sebelum 31 Ogos.

KAFA dalam kes trio tersebut telah mengeluarkan surat lanjutan itu sehari lewat pada tarikh akhir iaitu pada 1 September manakala T-Team pula hanya mengeluarkan surat itu pada 17 September.

Jadi bagi kedua-dua kes ini, pihak KAFA pada tahun 2010 dan pihak T-Team pada 2012 telah pun tidak menepati syarat perlanjutan kontrak dan tidak terpakai.

Walaupun notis itu dikeluarkan mengikut masa yang betul, mengikut perkara 10.3, pemain hendaklah menandatangani atau menolak perjanjian melanjutkan kontrak dalam masa 30 hari setelah menerima notis tersebut. Jika pemain tidak membalas notis itu, maka kontrak itu akan berkuatkuasa secara automatik.

Dan apa yang berlaku kepada 'trio' tersebut ialah mereka tidak menjawab notis itu dan lari kepada pasukan T-Team yang memberikan tawaran yang lebih baik.

KAFA beranggapan bahawa sekiranya pemain tidak menjawab notis tersebut dalam masa 30 hari, bermakna kontrak mereka akan dilanjutkan secara automatik, namun notis tersebut juga telah tidak menepati syarat 10.2 apabila hanya menyatakan terma dan syarat yang sama dengan kontrak asal dan bukannya terma yang baharu.

Zairo dan Faiz juga tidak menjawab notis lanjutan kontrak daripada T-Team dalam masa 30 hari tersebut dan ini tidak menjadikan kontrak mereka automatik berjalan kerana notis itu sendiri sudah terbatal dan tidak terpakai kerana melewati tarikh akhir notis iaitu pada 31 Ogos.

Ini bermakna mereka berhak untuk menandatangani kontrak bersama pasukan baru iaitu Kelantan yang mana kontrak itu akan hanya berkuatkuasa pada 27 Disember 2012.

Pihak T-team dilaporkan mahu melaporkan kes ini kepada FAM supaya kedua pemain tersebut dikenakan tindakan namun berdasarkan kes 'trio' yang terdahulu, dijangka mereka juga akan 'dilepaskan'.

Jika dahulu aduan KAFA pada 2010 terhadap 3 pemain itu tidak diendahkan FAM kerana notisnya bertarikh lewat sehari dan tidak menyatakan terma dan syarat-syarat baru kontrak, maka sebarang aduan T-Team mengenai isu perpindahan Zairo dan Faiz kepada FAM juga akan tidak berasas.