23 November 2012

LIGA MALAYSIA 2013: MENGAPA KELANTAN AKAN HANYA TAMPIL LEBIH KUAT PADA MUSIM 2013

Kelantan menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim 2012.
Kejayaan Kelantan memenangi semua 3 piala utama Liga Malaysia iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2012 merupakan kemuncak kepada kebangkitan bola sepak Kelantan.

Kelantan mencatat sejarah apabila menjadi negeri kedua selepas Kedah yang berjaya memenangi kejuaraan 'treble' ini dalam dua musim berturut-turut pada tahun 2007 dan 2008.

Bagaimanapun, 'mood' menyambut kejuaraan tiga piala di kem The Red Warriors dari pantai timur ini seakan terganggu oleh karenah pasukan yang sedang rancak dibina jauh di selatan tanah air.

Kemampuan Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan yang sama pada musim depan seakan terjejas apabila Norshahrul Idlan menyatakan hasrat untuk berhijrah ke Johor bersama rakan sepasukan, Nurul Azwan Roya.

Status penjaring terbanyak dalam semua kejohanan bagi Kelantan musim 2012, Mohamad Ghaddar yang menyumbang 21 gol pula masih belum dapat dipastikan setelah turut mendapat tawaran daripada pasukan lain.

Namun ketika semua menyangka Kelantan akan tunduk membisu membenarkan pasukan mereka dilemahkan oleh kemelut ini, KAFA membuat kejutan apabila berjaya mengikat ayam tambatan pasukan jiran iaitu Zairo Anuar Zailani dan Mohd Faiz Subri daripada T-Team.

Meskipun mereka kurang dikenali berbanding 3 bintang Kelantan yang berhijrah iaitu Norshahrul, Nurul Azwan Roya dan S. Chanturu, dua pemain daripada T-Team ini juga memiliki keistimewaan yang tersendiri.
Statistik jaringan diatas menunjukkan senarai penjaring terbanyak bagi musim 2012 Kelantan dengan Mohamad Ghaddar merupakan penjaring terbanyak keseluruhan (21 gol) diikuti oleh Norfarhan (17), Piya (14), Indra (13) dan Norshahrul Idlan (10).

Walaupun menunjukkan permainan bersifat individu, Ghaddar tetap cemerlang dengan 9 gol di Liga Super dan 8 gol di Piala AFC. Ghaddar juga seringkali muncul penyelamat disaat getir dengan jaringan penting.

Ketiadaan Norshahrul yang cedera juga tidak begitu dirasakan apabila pemain utama lain seperti Norfarhan, Piya dan Indra Putra mampu menggalas tugas dan mencipta jaringan.

Sekalipun mereka bukan penyerang tulin dan lebih kepada pemain bahagian tengah dan sayap, Indra, Farhan dan Piya tetap ampuh dengan keseluruhan 44 gol berjaya dihasilkan, dengan 21 gol daripada (40%) jaringan Kelantan di Liga Super.

Nurul Azwan dan S.Chanturu juga merupakan aset penting bagi Kelantan bagi musim 2012 kerana kedua-dua flanker ini memiliki kelajuan, kawalan bola yang baik dan mencipta peluang bagi rakan, meskipun hanya menyumbang sejumlah 7 gol.
Penghijrahan Norshahrul, Nurul Azwan dan S. Shanturu sudah tentu akan dirasakan namun kehadiran Zairo Anuar Zailani dan Mohd Faiz Subri dijangka mampu mengisi ruang yang ditinggalkan itu dengan baik.

Gandingan Zairo dan Faiz Subri telah menghasilkan keseluruhan 24 gol untuk T-Team musim lalu dengan 18 gol atau lebih daripada separuh (51.4%) jaringan T-Team dalam Liga Super adalah sumbangan mereka.

Signifikan kemasukan Zairo dan Faiz dijangka memberi impak positif kepada Kelantan pada musim hadapan dan gandingan kedua pemain ini dengan barisan pemain yang sedia ada dijangka akan menghasilkan kejayaan. 

Namun Kelantan perlu menutup jurang luas yang ditinggalkan dibahagian serangan oleh dua penyerang utama iaitu Mohamad Ghaddar dan Norshahrul dengan penyerang import dan tempatan yang berkualiti

Sekiranya ini dipenuhi, maka dominasi Kelantan dalam bola sepak Malaysia tidak akan berakhir dan tenggelam disebalik kemunculan gergasi baru dari selatan, malah Kelantan akan tetap kekal sebagai pasukan terkuat Liga Malaysia untuk musim hadapan.